top of page

Borenos Bukti Jenama Sabah Mampu Bersaing di Peringkat Nasional – Masidi

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

21 Ogos 2026


KOTA KINABALU: Kejayaan Borenos Fried Chicken Sdn Bhd mengembangkan perniagaan ke Semenanjung Malaysia membuktikan jenama kelahiran Sabah mempunyai kualiti dan daya saing untuk menembusi pasaran nasional.


Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kejayaan syarikat yang diasaskan anak Sabah itu wajar menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk berani memperluaskan pasaran dan bersaing dengan jenama dari luar negeri.


“Harapan saya, ini akan menjadi penyuntik semangat kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk tidak ragu-ragu bersaing dengan syarikat-syarikat yang datang daripada luar Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Borenos Fried Chicken di Imago Shopping Mall, di sini, kelmarin.


Masidi berkata, Borenos membuktikan jenama tempatan mampu berdiri setanding dengan rangkaian makanan segera yang lebih dikenali di peringkat nasional.


Menurutnya, kekuatan sesuatu produk bukan hanya bergantung kepada nama atau populariti jenama, sebaliknya kualiti yang ditawarkan turut menjadi faktor utama dalam menentukan pilihan pengguna.


“Jika kita bercakap tentang jenama besar, adakah kita membeli jenama atau kualiti produk? Bagi saya, saya memilih berdasarkan kualiti produk,” katanya.


Terdahulu dalam ucapannya, Masidi melahirkan rasa bangga dengan perkembangan Borenos yang kini bukan sahaja mempunyai cawangan di Sabah, malah berjaya mengembangkan perniagaan ke Semenanjung Malaysia dan mendapat sambutan baik daripada pengguna.


“Ini yang kita banggakan kerana restoran berkenaan adalah ‘original Sabahan’. Mereka telah membuka cawangan di Semenanjung dan nampaknya di sana juga mendapat sambutan yang baik.


“Ini sekali gus membuktikan bahawa produk keluaran Sabah mempunyai kualiti yang baik serta mampu mendapat tempat di pasaran luar Sabah,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berharap kejayaan Borenos menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk membangunkan jenama sendiri serta berani membawa produk keluaran Sabah ke pasaran yang lebih luas, termasuk ke peringkat antarabangsa.


Borenos kini mempunyai tujuh cawangan di Sabah dan tiga di Semenanjung Malaysia, mencerminkan penerimaan pengguna yang semakin meluas terhadap jenama tempatan berkenaan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Borenos Fried Chicken Sdn Bhd, Janice Yeo berkata, syarikat kini memberi tumpuan untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran Malaysia sebelum mempertimbangkan pengembangan ke peringkat antarabangsa.


“Setelah kita stabil, mungkin ada peluang yang akan keluar dari Malaysia,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page