BPM Sabah kerah 1,234 anggota hadapi bencana banjir
- nabalunews
- Feb 1
- 1 min read

31 Januari 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengerahkan 1,234 anggota untuk menghadapi bencana banjir yang melanda negeri ini.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, berdasarkan keadaan cuaca ketika ini, JBPM memerlukan ramai anggota bomba untuk bersiap sedia membantu mangsa-mangsa banjir.
“Banyak daerah terjejas yang memerlukan anggota bomba untuk memastikan pemantauan dan operasi membantu mangsa berjalan lancar.
“Dalam keadaan cuaca tidak menentu, ketika ini di kawasan pantai barat pula, kebiasaannya di Penampang, untuk kawasan pedalaman seperti Beaufort, begitu juga Kota Belud," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang berhasrat untuk mendapatkan bantuan anggota bomba dari Kota Kinabalu.
Zainal berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan ke Sarawak selepas keadaan banjir di negeri ini reda.
"Kita teruk juga, jadi mana yang kita boleh bantu, kita bantu. Namun kita selesaikan dahulu di Sabah kerana masih banyak mangsa banjir di sini.
"Selepas selesai semuanya, barulah kita bantu andai banjir masih berterusan di sana," katanya.
Sebelum itu, King Sing dalam kenyataannya memaklumkan bomba dari Sibu, Miri, Labuan dan Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu operasi bencana di Bintulu.
תגובות