top of page
  • nabalunews

Bukit Sri Hartamas @Tenom mercu tanda Daerah Tenom

2 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TENOM: Pembangunan Bukit Sri Hartamas @Tenom bakal menjadi satu lagi mercu tanda bagi daerah Tenom.


Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) Datuk Jamawi Jaafar berkata pembangunan hartanah baharu dengan kombinasi lot komersial dan rumah kediaman ini sudah pasti akan memenuhi keperluan di daerah Tenom.


Menurut Jamawi, Daerah Tenom masih memerlukan pembangunan seiring dengan persekitarannya yang mempunyai tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.


"Kita tahu sekarang Tenom semakin lama semakin berkembang, kegiatan ekonomi, pertanian dan pelancongan semakin lama semakin naik dan kita punya hotel kediaman pun saya difahamkan hujung minggu penuh" katanya ketika ditemui selepas melancarkan galleri penjualan Bukit Sri Hartamas @Tenom di sini pada Ahad.


Katanya, dengan adanya pembangunan ini sedikit sebanyak akan dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan kediaman dan juga tempat penginapan.


Pada masa sama Jamawi yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Melalap

memuji usaha Menara Bestari Sdn Bhd dan pemilik tanah dalam menjayakan pembangunan kawasan ini.


Beliau turut berharap agar pembangunan ini dapat berjalan mengikut jadual.


Sementara itu Pengarah Urusan NBLand Group Wong Gee Ngen berkata projek Bukit Sri Hartamas @Tenom yang berkonsepkan pembangunan kombinasi komersial dan rumah kediaman bertujuan memodenkan daerah dan merangsang pertumbuhan sosio ekonomi di Tenom.


Katanya, nilai Pembangunan Kasar (GDV) Bukit Sri Hartamas adalah RM155 juta dan dijangka siap pada 2026.


"Projek itu terdiri daripada pembangunan komersial dan kediaman seluas 19.575 ekar yang terletak berhampiran dengan jalan utama kawasan pekan" katanya.


Wong berkata,  projek yang akan menjadi mercu tanda pemodenan di Tenom ini akan mengubah landskap pembangunan daerah ini selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.


Katanya, projek ini terdiri daripada 95 unit rumah teres dua tingkat dan 32 unit rumah berkembar dua tingkat manakala pembangunan komersial mempunyai 72 unit eksklusif pejabat kedai tiga tingkat dengan keluasan binaan 3,540 kaki persegi seunit.

Comments


bottom of page