top of page

Bulatan Ikan Marlin Berwajah Baharu, Kekal Sebagai Ikon Kota Kinabalu

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 2 min read


7 Mei 2025


KOTA KINABALU: Bulatan Ikan Marlin, mercu tanda ikonik yang sinonim dengan Bandaraya Kota Kinabalu, kini tampil dengan wajah baharu selepas kerja menaik taraf menyeluruh oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).


Arca asal yang dibina pada tahun 1998 itu sudah mencecah usia 27 tahun sebelum menunjukkan tanda-tanda kerosakan termasuk besi reput dan cat yang semakin pudar.


DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja naik taraf arca berkenaan dilakukan bagi memastikan ia kekal sebagai identiti kebanggaan bandar raya serta terus menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa.



“Ia melibatkan pembinaan semula arca Marlin baharu, platform, pemasangan bollard dan lampu hiasan, kerja mengecat kerb jalan, serta penggantian landskap dengan penanaman tumbuhan renek berbunga di sekeliling bulatan,” menurut kenyataan itu.


Projek yang siap sepenuhnya pada 30 April lalu dirasmikan secara simbolik oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dengan disaksikan barisan Pengurusan Tinggi DBKK.


Menurutnya, reka bentuk baharu arca mengekalkan elemen asal yang telah dikenali ramai, namun dengan penambahbaikan dari segi saiz, ketahanan dan daya tarikan visual.



“Arca baharu yang berukuran 6.5 meter tinggi dan 6 meter lebar itu dibina menggunakan besi tahan karat bagi menjamin ketahanan terhadap cuaca, memandangkan lokasinya yang berhampiran laut.


“Pelan reka bentuk dan lukisan binaan arca baharu disediakan oleh Jabatan Landskap, DBKK melalui penelitian terhadap aspek saiz, rupa, bentuk dan warna sebenar ikan Marlin.


“Selain itu, ia turut mengambil kira aspek keselamatan, kesesuaian dan ketahanan arca di bulatan tersebut.


“Manakala, ia dibina oleh pembuat arca asal, Houng Howe Ann, yang mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan struktur baharu melalui proses yang kompleks dan teliti,” katanya.


DBKK turut menyeru orang ramai agar menjaga keindahan dan kebersihan kawasan Bulatan Ikan Marlin serta tidak melakukan vandalisme yang boleh mencemarkan imej Bandaraya Kota Kinabalu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page