top of page

Cadangan Penyelesaian Interim Kesesakan Pelabuhan Sepanggar Akan Dibentang di Kabinet: Ewon

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Ewon mengadakan tinjauan mengejut di Pelabuhan Sepanggar.
Ewon mengadakan tinjauan mengejut di Pelabuhan Sepanggar.

11 Januari 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata cadangan penyelesaian interim bagi menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan di Kabinet negeri dalam masa terdekat.


Beliau berkata, cadangan penyelesaian interim itu perlu dibuat kerana penyelesaian jangka masa panjang seperti projek perluasan Pelabuhan Sepanggar yang sedang dilaksanakan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.


“Susulan aduan mengenai isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, hari ini saya menyertai sebuah prime mover daripada depo di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) ke Pelabuhan Sepanggar untuk mengambil kontena yang akan dihantar kepada pelanggan, bagi meneliti sendiri aduan tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan mengejut di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.


Ewon berkata, hasil tinjauan mendapati aduan yang disuarakan adalah berasas, dengan beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada kesesakan, termasuk aspek kecekapan operasi yang perlu ditangani segera.


“Saya dapati aduan yang disampaikan sememangnya berasas. Banyak faktor menyumbang kepada kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, namun isu kecekapan mesti ditangani dan diperbaiki,” katanya.


Beliau menegaskan isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar kini menjadi keutamaan nombor satu di MINDET kerana pelabuhan berkenaan merupakan pembolehubah utama kepada keseluruhan ekosistem perindustrian dan keusahawanan di Sabah.


“Kesesakan di pelabuhan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di negeri ini. Oleh itu, ia menjadi keutamaan nombor satu saya di MINDET untuk diselesaikan,” katanya.


Sehubungan itu, Ewon memaklumkan beberapa perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan berkaitan sebelum kertas Kabinet dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan penyelesaian interim.


Beliau turut memberi jaminan kerajaan Sabah komited untuk memastikan kelancaran operasi pelabuhan demi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page