• Wartawan Nabalu News

COVID-19: HAMPIR SEMUA DAERAH DI SABAH CATAT KES BAHARU HARI INI



5 JAN 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Hampir semua daerah di Sabah mencatatkan kes positif baharu Covid-19 hari ini, hanya Beluran dan Nabawan tidak merekodkan kes baharu.


Secara keseluruhannya, Sabah mencatatkan 383 kes baharu meningkat sebanyak 80 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif 38,555 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, lima kes kematian turut direkodkan hari ini iaitu dua kes di Lahad Datu dan masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Sandakan.


Beliau berkata, daripada 303 kes positif Covid-19 yang direkodkan, 250 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala (64 kes), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada (tiga kes), saringan komuniti dua kes dan 36 kes adalah dari lain-lain kategori.


“Daerah Penampang mencatatkan 43 kes, Kota Kinabalu (42 kes), Tawau (34 kes), Lahad Datu (30 kes), Sandakan (29 kes), Putatan dan Keningau masing-masing 25 kes, Papar (24 kes), Pitas (19 kes), Kudat (14 kes), Kota Belud (13 kes), Kinabatangan dan Kuala Penyu masing-masing 10 kes.


“Tambunan pula mencatatkan sembilan kes, Kota Marudu dan Kalabakan masing-masing lapan kes, Sipitang (tujuh kes), Beaufort, Kunak dan Tenom masing-masing enam kes, Tuaran dan Ranau masing-masing lima kes, Semporna (tiga kes), Tongod dan Telupid masing-masing satu kes,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Masidi berkata, hari ini, seramai 214 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 35,744 orang.


Katanya, sejumlah 2,112 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 679 orang di hospital dan 1,433 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 55 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan.