• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 203 KES BAHARU, DUA KEMATIAN, SATU KLUSTER BAHARU



9 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah, hari ini menunjukkan penurunan sejak beberapa hari dengan 203 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31,260 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manju berkata, dua kes kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan hari ini, masing-masing di Kota Kinabalu dan Sandakan.


Kes kematian yang dilaporkan di Hospital Duchess of Kent Sandakan melibatkan lelaki tempatan berumur 61 tahun dan kes kematian di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu juga lelaki tempatan berumur 82 tahun.


“Terdapat satu kluster baharu di Penampang iaitu Kluster Kupi-Kupi mencatatkan 12 kes positif. Kluster ini dikesan melalui saringan di sebuah kedai makan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Mengenai kes-kes jangkitan Covid-19 mengikut daerah, Masidi berkata, Lahad Datu mencatatkan 54 kes, Tuaran dan Sandakan masing-masing 25 kes, Penampang (24 kes), Kota Kinabalu (22 kes), Tawau (17).


"Keningau (tujuh kes), Putatan dan Pitas masing-masing enam kes, Kudat (lima kes), Semporna dan Kota Belud masing-masing tiga kes, Papar (dua kes), Beluran, Tenom, Kuala Penyu dan Kota Marudu masing-masing satu kes.


“Daerah Kinabatangan, Kalabakan, Tongod, Tambunan, Telupid, Beaufort, Ranau, Kunak, Sipitang dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu hari ini,” katanya.


Masidi berkata, daripada 203 kes positif Covid-19, sebanyak 107 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 16 daerah, 36 kes dari saringan kluster baharu dan sedia ada, saringan bergejala (31 kes), saringan komuniti (satu kes), saringan tempat kerja (tiga kes) dan 25 kes adalah dari lain-lain kategori.


Beliau berkata, hari ini seramai 387 pesakit Covid-19 sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 28,425 orang.


"Sejumlah 1,871 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 601 orang di hospital dan 1,270 orang di PKRC.


"Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 59 orang dan 23 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com