• nabalunews

COVID-19: UMS SEDIA BANTU SARING SAMPEL, SEDIAKAN KHIDMAT PAKAR PERUBATAN



17 Nov 2020


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk membantu kerajaan negeri melakukan saringan ke atas sampel COVID-19 serta menghulurkan bantuan kepada hospital yang memerlukan khidmat kepakaran perubatan.


Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata makmal universiti itu telah menguji hampir 7,000 sampel.


“Kami komited untuk meneruskan bantuan ini kepada kerajaan negeri bukan sahaja dalam aspek ujian sampel tetapi juga menyediakan pakar perubatan ke hospital Sabah yang memerlukan. UMS berharap dapat mengadakan lebih banyak kerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, untuk menjalin hubungan lebih erat antara UMS dengan kerajaan Sabah.


Beliau berkata UMS telah melaksanakan banyak projek untuk membantu rakyat Sabah, yang tidak terhad kepada penyediaan peluang pendidikan sahaja tetapi juga ke arah peningkatan ekonomi dan kesejahteraan sosial.


“Secara umumnya, kami mahu terus membantu rakyat Sabah dan negeri ini,” katanya. – Bernama