top of page

CSR Prihatin: Pemuda UPKO Kota Belud Hulur Bantuan Bahan Binaan di Kampung Piasau

  • nabalunews
  • Jul 11, 2025
  • 1 min read

11 Julai 2025


KOTA BELUD : Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud semalam melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyalurkan bantuan berupa bahan binaan kepada seorang penduduk yang memerlukan di Kampung Piasau.


Program berkenaan diketuai oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda. Mereka telah menyampaikan sumbangan berupa papan lapis, zink, paku dan beruti kepada Moluntin Mogintan, seorang penduduk yang kediamannya mengalami kerosakan serius.


Menurut Jolyhame, hasil lawatan terdahulu mendapati keadaan rumah penerima berada dalam keadaan daif dan memerlukan bantuan segera. Justeru itu, pihaknya tampil menyalurkan bantuan sebagai langkah awal untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Sumbangan ini merupakan langkah sementara untuk memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terpelihara. Kami turut menasihatkan penerima untuk mendapatkan bantuan lanjut daripada Pejabat Kebajikan Kota Belud agar sokongan yang diterima lebih menyeluruh dan berterusan,” ujar beliau.


Beliau turut memaklumkan bahawa satu program gotong-royong akan dilaksanakan pada 12 Julai ini dengan penglibatan Pemuda UPKO bagi membantu membaiki rumah penerima secara berperingkat.


Turut hadir dalam penyerahan sumbangan tersebut ialah Setiausaha Pemuda UPKO Kota Belud, Joel Deukin bersama beberapa AJK Pemuda yang lain. Kehadiran mereka menunjukkan komitmen berterusan UPKO dalam menyantuni masyarakat setempat melalui pendekatan yang inklusif dan tangkas.


Inisiatif CSR ini dilihat sebagai salah satu platform berkesan dalam mendekati isu-isu rakyat, khususnya berkaitan infrastruktur asas di kawasan luar bandar. Ia juga menjadi bukti kesungguhan Pemuda UPKO dalam menjalankan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan komuniti, sejajar dengan aspirasi parti untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page