Cubaan Seludup 60 Tong Gas LPG Subsidi Gagal
- nabalunews
- 12m
- 2 min read

8 Mac 2026
TAWAU: Cubaan menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi gagal selepas berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Tawau, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, semua 60 tong gas LPG berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, aktiviti penyeludupan berkenaan dikesan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan OP PAGAR LAUT dan OP TIRIS.

Katanya, berdasarkan maklumat risikan berkenaan, pasukan operasi mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot di kawasan tersebut.
“Bertindak daripada laporan itu, bot peronda Maritim Malaysia diarahkan ke lokasi yang telah dikenal pasti bagi memintas sebuah bot yang dikesan bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
“Semasa cubaan bot peronda memintas, juragan bot bertindak berpatah balik menuju ke pesisir pantai sebelum terjun meninggalkan bot beserta muatan untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot kargo berkenaan mendapati terdapat 60 tong gas LPG berisi dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Bot serta kesemua muatan tersebut dirampas seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM53,800,” katanya.
Sehubungan itu, Ariffin berkata, menjelang musim perayaan terdapat permintaan tinggi dari pasaran luar bagi memperolehi keperluan barangan dari Tawau.
Katanya, modus operandi sindiket yang cuba menjalankan aktiviti pada waktu sunyi bagi mengelakkan dari dikesan oleh pegawai penguat kuasa.
Sementara itu Ariffin turut menegaskan, penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang terutama ketika menjelang musim perayaan, khususnya di perairan Tawau.
“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” tegasnya.
Arifin berkata, sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut , orang awam boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.











