top of page

Cubaan seludup petrol dan minyak masak dipatahkan

  • nabalunews
  • 20 hours ago
  • 1 min read


11 Mei 2025


Lahad Datu: Cubaan tiga lelaki membawa keluar barangan kawalan tanpa permit gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Batu, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, bot yang dinaiki individu berusia 34 hingga 41 tahun itu ditahan Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Operasi Pluto Timur 2/2013 dan Operasi Tiris 3.0.


Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua suspek yang menaiki bot kayu itu dikesan dalam keadaan mencurigakan.



Bagaimanapun katanya, ketika cuba dihampiri untuk pemeriksaan, kedua-dua suspek terus melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia.


"Berlaku aksi mengejar selama hampir sepuluh minit sebelum bot berkenaan berjaya dipintas. Pemeriksaan mendapati, dua lelaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala seorang lagi mempunyai dokumen pemastautin sementara.


"Hasil pemeriksaan lanjut menemui 17 tong berisi petrol dan 51 peket minyak masak satu kilogram dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM80,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Menurutnya, semua kru dan barangan dirampas dibawa ke Jeti Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.


Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah.


"Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport yang sah, dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.


"Orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera," katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page