DARI BERMAIN PIANO, KINI TERJUN KE DUNIA USAHAWANDARI BERMAIN PIANO, KINI TERJUN KE DUNIA USAHAWAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

DARI BERMAIN PIANO, KINI TERJUN KE DUNIA USAHAWAN


Joanly merupakan seorang pemain piano profesional

29 Mac 2021


KOTA KINABALU: Bersandarkan kepada situasi ekonomi semasa, wajarlah sekiranya golongan belia khususnya mahasiswa mulai menjinakkan diri dalam bidang keusahawanan demi kelangsungan hidup.


Penglibatan ini juga secara tidak langsung mencantas beberapa laporan akhbar yang mendakwa graduan khususnya belia terlalu memilih pekerjaan. Dakwaan ini tampaknya tidak senada dengan jejaka tampan berbangsa Dusun, kelahiran Tamparuli, ini.


Joanly Jounis atau lebih mesra dipanggil Joanly, kini mengorak langkah ke dunia keusahawanan seawal usia 22 tahun (kini berumur 24 tahun).


Putera tampan ini merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Siapa sangka, dahulunya dangkal ilmu dalam keusahawanan, kini kian terang bersinar dalam dunia itu.


Joanly yang hobinya bermain piano kini sedang menjalani Latihan Mengajar di salah satu Sekolah Menengah Kebangsaan. Bakal cikgu ini mengambil opsyen Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik) di Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Terdahulu, Joanly sangat aktif dalam penglibatan ko-kurikulum sewaktu mengimbau nostalgia di universiti. Bersandarkan pada ketampanannya, jejaka berketinggian 170cm ini pernah dinobatkan sebagai Juara Mr. Kaamatan (MRK) Festival Gawai Kaamatan UPSI 2019. Dia juga pernah menjadi nakhoda kapal yang mengemudi program bertaraf antarabangsa iaitu Sawaluntoh Poetry Reading Fest II di Sumatera Barat, Indonesia.

“Keinginan bergelar usahawan itu timbul apabila melihat rakan-rakan seperjuangan berlumba dalam mengendalikan bisnes. Terkadang perasaan cemburu (mahu mengikut jejak) itu timbul dalam hati. Semester ke-3 di UPSI, bisnes pertama yang saya ceburi adalah Mary Kay,” katanya.

Disebabkan dorongan azam yang mahu mendapatkan pendapatan sampingan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa, Joanly memberanikan diri untuk bertatih dalam dunia keusahawanan. Fasa permulaan adalah paling mencabar di mana dia harus bertarung dengan komitmen sebagai mahasiswa, yang dihujani dengan pelbagai tugasan akademik dan penglibatan ko-kurikulum.



“Saya pernah sertai beberapa bisnes sebelum ini, tapi terkandas di tengah jalan. Waktu itu, saya memang sangat sibuk dengan tugas hakiki sebagai pelajar. Menyertai bisnes ini sebenarnya sangat baik untuk menyuntik nilai keberanian dalam berhadapan dengan masyarakat. Secara tidak langsung, ianya juga boleh mengasah bakat, serta melatih kemahiran insaniah dalam diri kita,” katanya.

Hidup umpama roda. Terkadang berada di atas, tetapi posisi itu tidak sentiasa kekal. Meskipun pernah hampir putus asa dalam hidup, Joanly tetap berusaha untuk terus meneroka dan menjadi pejuang dalam dunia keusahawanan. Lantas, pada November 2020, Joanly sekali lagi mengorak langkah untuk melibatkan diri dalam biz Shaklee. Kali ini, dia bertekad untuk kekal dalam medan tersebut dengan gigih.


Joanly kini bergiat dalam biz Shaklee dan dinobatkan sebagai future leader

“Semasa menyertai biz Shaklee pada November 2020, saya menerima bimbangan daripada mentor Evhytra Jilias pada mulanya. Meskipun prosesnya agak mencabar pada mulanya, namun saya tetapi bertahan sehingga ke hari ini. Syukur, Tuhan itu selalu baik dan saya masih diberikan kekuatan. Tidak mengapa, suatu hari nanti saya percaya pasti ke puncak yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Memulakan sesuatu perniagaan itu tampaknya mudah dengan menggunakan kata-kata. Tetapi, untuk kekal bertahan pada suatu ketika terutamanya di saat-saat genting adalah perkara luar biasa. Joanly menyatakan dia hampir berputus asa pada suatu ketika. Namun begitu, disebabkan orang-orang sekelilingnya sentiasa memberikan dorongan kepadanya, dia kekal bertahan menjalani liku-liku sebagai usahawan muda.

“Semasa saya hampir putus asa dulu, insan-insan inilah yang selalu memberikan kata-kata semangat. Aiyell Ann, Evhytra Jilias dan Halmond Rabanou bersama isterinya iaitu puan Martina Amat adalah antara individu yang sentiasa menyokong saya untuk maju ke hadapan. Kata-kata dorongan yang diberikan menyemarakkan lagi semangat dan keazaman dalam diri saya. Paling penting sekali adalah keluarga saya. Merekalah tunjang semangat yang tidak pernah berbelah bahagi, dan sentiasa menyokong saya sepanjang masa,” sahut Joanly dengan penuh semangat.


Lakaran prospek di masa hadapan, Joanly berharap agar dapat mengembangkan lagi ilmu usahawan di peringkat lebih tinggi, khususnya kegiatan biz Shaklee. Untuk perancangan jangka panjang, dia juga sempat menyelitkan hasrat untuk membuka kelas muzik khas buat penduduk di kampung asalnya iaitu Kg. Loputong, Tamparuli, Sabah.

“Sudah lama saya merantau di negeri orang. Suatu masa, saya mahu mengembangkan biz Shaklee saya di daerah kelahiran saya. Kalau ada kewangan yang kukuh hasil dari biz ini, saya mahu buka kelas muzik di kampung saya pula. Ramai anak-anak muda yang berbakat (muzik) di sana (kampungnya) tapi kurang kelas muzik secara formal. Sekiranya saya buka kelas muzik, saya boleh berbisnes dan membantu anak-anak muda secara tidak langsung,” katanya dengan senyuman terpaku di raut wajahnya.

Segan bergalah, hanyut serantau. Untuk mencapai kejayaan di masa hadapan, Joanly sedar bahawa dia harus berusaha lebih gigih. Dia juga menitipkan pesan kepada sesiapa sahaja yang bergelut dalam dunia keusahawanan, supaya jangan pernah menyerah kerana setiap cabaran itu adalah proses pematangan kendiri, agar lebih teguh di masa hadapan.


Joanly sempat mencantas bahawa golongan belia tidak pernah memilih pekerjaan seperti yang terpampang di media-media massa, melainkan hanya bekerja mengikut kepadanan fizikal dan kemahiran yang dimiliki oleh setiap insan. Mengakhiri perbualan, Joanly berharap agar masyarakat mendoakan kejayaannya dalam dunia usahawan dan sentiasa dimurahkan rezeki oleh sang Pencipta.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page