top of page

Data kematian Covid berbeza, Kit Siang mahu Khairy beri penjelasan

Farah Salim

24 Okt 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan angka kematian Covid-19 terbaharu di Malaysia yang menunjukkan data dan informasi berbeza di laman CovidNow dan Worldometer.


Di laman web CovidNow, sebnayak 42 kes kematian baru dicatatkan semalam manakala Worldometer menunjukkan Malaysia mempunyai 222 kes kematian.


“Sekiranya laman web Worldometer tepat mengenai 222 kematian semalam, Khairy perlu menggesa agar rombakan menyuruh ke atas polisi dan strategi menangani kemelut Covid-19 yang telah diperkenalkan.


“Ini kerana angka kematian Covid-19 yang begitu tinggi pada minggu kelapan Khairy menyandang portfolio Menteri Kesihatan hanya bermaksud kita telah menggunakan polisi dan strategi yang salah,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Kit Siang, data tersebut agak membimbangkan memandangkan Malaysia telah mulai membuka semula sektor ekonomi di negara ini.


Selain itu, beliau berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga akan diadakan pada 20 November dan kempen rasmi akan bermula dari 8 November.


Tambahnya, kerajaan juga perlu menjelaskan lebih lanjut dan berkomunikasi secara berkesan dengan rakyat mengenai maksud ‘Hidup Bersama Covid’.


Laman web CovidNow digunakan sebagai portal rasmi Kementerian Kesihatan untuk data Covid-19 dan dikemas kini setiap hari, di mana jumlah kematian sah dikemaskini pada waktu tengah malam. Jumlah kematian ini juga termasuk kes tertunggak.


Angka kematian terkini seperti yang disenaraikan di laman web CovidNow adalah 28,354, termasuk 42 kes kematian baharu semalam.


Sementara itu, Worldometer iaitu laman web antarabangsa yang merupakan sumber maklumat Covid-19 seluruh negara di mana ia menyenaraikan 222 kes kematian di Malaysia semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 28,534.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page