DBKK Kompaun Kenderaan Halang Lalu Lintas Di Tanjung Aru
- nabalunews
- 52 minutes ago
- 1 min read

27 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan kompaun terhadap 14 kenderaan yang diletakkan secara salah sehingga mengganggu lalulintas di kawasan Tanjung Aru.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penguatkuasaan DBKK berkata, tindakan diambil ekoran aduan yang diterima daripada orang awam berhubung kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati ia berpunca daripada tindakan segelintir individu yang meletakkan kenderaan mereka di jalan serta kawasan awam yang tidak dibenarkan.

“Bertindak atas aduan tersebut, pemeriksaan mendapati beberapa kenderaan telah diletakkan secara tidak teratur hingga menyebabkan gangguan kepada aliran trafik di kawasan berkenaan.
“Susulan itu, sebanyak 14 keping tawaran kompaun telah dikeluarkan di bawah peraturan dan undang-undang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang turut mengambil tindakan terhadap pesalah trafik.
Sehubungan itu, DBKK merakamkan penghargaan kepada IPD Kota Kinabalu di atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam memastikan keselamatan dan keteraturan di sekitar bandar raya sentiasa terpelihara.
Katanya, orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan Undang-undang Kecil (UUK) lalu lintas yang berkuat kuasa bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta kesejahteraan pengguna jalan raya.














