top of page

Dennison Persoal Komitmen Kerajaan Persekutuan Tunai Hak Sabah

  • nabalunews
  • Nov 27, 2025
  • 1 min read

27 November 2025


KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) N22 Tanjung Aru, Dennison R. Indang mempersoalkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan tuntutan hak Sabah, khususnya pengembalian 40 peratus hasil bersih yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut bahawa kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih banyak di Sabah berbanding hasil dikutip.


Namun, katanya, persoalan pokok tetap tidak berubah apabila usaha memastikan parti-parti dari Semenanjung berada dalam kerajaan Sabah terus berlaku.


“Mengapa begitu bersungguh mahu memastikan parti-parti dari Semenanjung berada dalam kerajaan Sabah?


“Sarawak sudah membuktikan bahawa kerajaan yang dipimpin parti-parti tempatan boleh stabil dan berjaya. Hak wilayah mereka dihormati dan dikembalikan, sebab itu mereka boleh berdiri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dennison menjelaskan tuntutan 40 peratus hasil bersih bukan isu politik atau sentiment semata-mata, sebaliknya hak wilayah Sabah yang jelas dijamin dalam Perlembagaan.


Tambah beliau, hak tersebut tidak sepatutnya menjadi perkara yang perlu dirayu setiap tahun.


“Kalau benar Persekutuan membelanjakan lebih daripada apa yang dikutip, kita berhak bertanya – mengapa hak 40 peratus masih belum dikembalikan? Mengapa autonomi Sabah tidak setegas Sarawak?” ujarnya.


Menurut Dennison, rakyat Sabah tidak menuntut keistimewaan, sebaliknya hanya mahukan hak yang sewajarnya.


Dengan pengembalian hak 40 peratus, katanya, Sabah mampu memperkasa pembangunan sendiri tanpa bergantung kepada parti luar.


“Inilah semangat perjuangan UPKO di bawah agenda Sabah First, perjuangan untuk kerajaan Sabah yang dipimpin parti tempatan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page