top of page

Dewan Negara lulus RUUKP 2025, diwarta akhir tahun ini

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

5 September 2025


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) yang bertujuan memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna diluluskan Dewan Negara semalam dan dijangka diwartakan akhir tahun ini.


RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, akan menjadi sebuah akta induk yang akan diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan (RSA) dalam memantau aktiviti kredit pengguna di bawah agensi masing-masing.


Kementerian Kewangan berkata rang undang-undang berkenaan bakal memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika.


Dalam masa sama katanya, ia mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.


“RUU ini juga membuka laluan kepada penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), sebuah badan bebas yang akan mengawasi dan mengawal selia penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal.


“SKP mempunyai empat fungsi utama iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna, menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan berkaitan kredit pengguna.


“Selain itu, ia turut menggalakkan perlakuan yang adil, profesional dan bertanggungjawab oleh semua pemberi kredit serta pemberi perkhidmatan kredit dan menggalakkan perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Menurut kementerian itu, setakat ini terdapat enam perkhidmatan kredit pengguna yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later atau BNPL), pemfaktoran, pajakan, perkhidmatan kutipan hutang, dan pengurusan hutang.


Dengan kelulusan RUUKP tersebut, semua perkhidmatan ini akan dikawal selia oleh SKP di bawah Fasa 1 apabila akta ini dikuatkuasakan kelak.


Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata RUUKP adalah manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.


"Kerajaan MADANI tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tatakelola demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin. Keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan, seperti digagaskan dalam kerangka Ekonomi MADANI," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page