Dr Jessie Hiu, Buat Laporan Polis, Terima Ugutan
- nabalunews
- Sep 7
- 1 min read

6 September 2025
KOTA KINABALU: Polis daerah ini mengesahkan menerima laporan daripada Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, berhubung ugutan terhadapnya, semalam.
Difahamkan laporan itu berkaitan ugutan yang diterimanya daripada netizen susulan keterangannya selama dua hari dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
“Kami menerima laporan daripada beliau semalam pada sebelah petang.
“Dalam laporan itu, Dr Hiu menyatakan bahawa beliau dimaklumkan mengenai ugutan berkenaan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam prosiding inkues itu, Dr Jessie memberi keterangan bahawa adalah tidak mungkin Zara terjatuh atau ditolak.
Beliau menjelaskan pelajar berusia 13 tahun itu mungkin melompat atau berayun dari tempat tinggi lalu mendarat pada kaki kirinya, menyebabkan daya hentakan bergerak ke arah atas badan.
Bagaimanapun, katanya adalah terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Zara bertindak melompat dengan kehendaknya sendiri.
Keterangannya mencetuskan kritikan apabila ramai pengguna media sosial mempersoalkan penemuan dan kelayakannya, malah ada yang turut melemparkan kata-kata kesat.
Dr Jessie, 58, yang berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, memiliki ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta sarjana patologi dari Universiti Malaya.
Beliau juga ahli kepada Malaysian Medical Association (MMA), Malaysian Society of Forensic Medicine and Science, dan Indo-Pacific Association of Law, Medicine and Science.
Pakar itu menjalankan serta menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun selain memberi keterangan pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.


















Comments