• Marryan Razan

Dr.Peter cadang anggota Dewan Negara diberi peranan ‘semak dan imbang’



12 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua UPKO Bahagian Libaran Dr.Peter Jr.Naintin mengesyorkan agar anggota Dewan Negara diberi peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab "semak dan imbang" berhubung pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.


Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung UPKO juga mencadangkan agar lebih ramai Ahli Dewan Negara dari Sabah dan Sarawak sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang untuk mewakili suara rakyat di Malaysia Timur atas perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


“Saya berpendapat, Dewan Negara memainkan peranan penting menjadi pentas menegur dan memastikan pelaksanaan polisi kerajaan dijalankan secara berkesan di setiap peringkat masyarakat.


“Untuk menterjemahkan semangat dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, inilah masa yang sesuai dan wajar untuk pihak kerajaan memperuntukkan satu pertiga daripada jumlah ahli Dewan Negara yang berasal dari wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan agar kepentingan rakyat di Malaysia Timur dapat dijaga dan dijayakan dengan lebih baik,”katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Dr.Peter berkata, juga mencadangkan agar, setiap ahli dewan negara diberikan peruntukan yang mencukupi untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berkesan.