top of page

Dua beranak maut disyaki keracunan makanan kenduri kahwin

  • nabalunews
  • Aug 13
  • 1 min read

Pasukan polis menjalankan siasatan di Kg Batu 4, Jalan Apas berhubung kes kematian dua beranak dipercayai keracunan makanan kenduri kahwin.
Pasukan polis menjalankan siasatan di Kg Batu 4, Jalan Apas berhubung kes kematian dua beranak dipercayai keracunan makanan kenduri kahwin.

13 Ogos 2025


TAWAU: Seorang wanita dan anak lelakinya meninggal dunia selepas disyaki keracunan makanan ketika menghadiri kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini, Sabtu lalu.


Dua beranak yang dikenali sebagai Nazuah Pili, 36, dan anak sulungnya, Mohd Amran Masran, 9 tahun itu dikatakan mengalami muntah serta cirit-birit teruk.


Kedua-dua mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.


Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, polis menerima laporan kejadian daripada seorang wanita berusia 24 tahun, kira-kira jam 10.30 pagi, hari ini.


Katanya, dalam laporannya itu, ahli keluarga mangsa terbabit memaklumkan ibu saudara dan anaknya dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menghadiri kenduri kahwin di kampung berkenaan.


"Hasil keterangan suami mangsa dan pengadu mendapati, anak beranak itu menghadiri majlis kenduri dan membawa pulang makanan yang dibungkus untuk suaminya.


"Suami mangsa dilaporkan turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak pagi Ahad hingga petang Isnin selepas memakan makanan yang dibawa pulang isterinya,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Champin berkata, berdasarkan maklumat awal mendapati beberapa tetamu yang menghadiri majlis berkenaan turut mengalami simptom cirit-birit dan muntah.


Bagaimanapun, katanya, punca sebenar keracunan makanan masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu siasatan polis.


"Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah juga hadir ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan, manakala proses bedah-siasat yang selesai jam 6.30 petang pada Selasa mendapati kedua-dua mayat tiada kesan kecederaan,"katanya.


Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun, siasatan masih diteruskan, termasuk mendapatkan keterangan saksi lain yang hadir kenduri bagi mengenal pasti sama ada mereka juga mengalami simptom sama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page