Dua Ditahan Bersama Barang Kosmetik Seludup
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

3 Jun 2025
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua warga asing bersama pelbagai barang kosmetik yang dipercayai diseludup masuk tanpa kebenaran di perairan Pulau Mataking, di sini, tengah malam tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam itu, kedua-dua lelaki warga asing berusia 49 dan 52 tahun itu terus ditahan untuk siasatan lanjut.
Semua barangan bernilai lebih RM153,872 itu dirampas selepas dipercayai tidak mempunyai sebarang kelulusan menyimpan atau menjual daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi menahan sebuah bot selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan pada jam 12.20 tengah malam.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya merampas 36 kotak yang mengandungi pelbagai barangan kosmetik.
“Juragan gagal menunjukan sebarang dokumen yang sah dan digunapakai sebagai pemilikan, kebenaran berdaftar, resit belian dan pengunaan barang.
“Seterusnya dua lelaki yang berada di atas bot berkenaan terus ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen kerana gagal menunjukan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua barang-barang kosmetik yang disyaki cuba seludup masuk dari negara Filipina ke Malaysia turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam.
Comments