- Wartawan Nabalu News
DUA KLUSTER BAHARU DIKESAN KLUSTER TABANAK LAHAD DATU, KLUSTER KG.GAYANG TUARAN

13 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dilaporkan hari ini dikenali sebagai Kluster Tabanak di Lahad Datu dan Kluster Kg.Gayang di Tuaran.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Tabanak mencatatkan tujuh kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes.
Beliau berkata, kes indeks merupakan lelaki, berusia 39 tahun yang disahkan positif hasil saringan bergejala di klinik kesihatan pada 09 April lalu.
"Susulan kes itu, ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes indeks telah menjalani saringan. Daripada 88 orang disaring, 14 orang lagi dikesan positif, 27 orang negatif saringan pertama dan 47 orang masih menunggu keputusan.
"Berdasarkan maklumat lanjut, kes indeks telah menghadiri kenduri arwah pada 30 Mac di Kg Tabanak. Semua 15 kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan dan pengasingan di PKRC Lahad Datu.
"Kontak-kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya,
Lahad Datu," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Kg.Gayang pula menambah dua lagi kes baharu pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 23 kes.
Beliau berkata, kes indeks merupakan lelaki, 69 tahun dari Kg.Gayang yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 04 April.
"Daripada 72 orang kontak rapat yang disaring, 22 orang dikesan positif Covid-19. Saringan komuniti di Kg.Gayang telah dijalankan secara aktif hingga kini.
"Berdasarkan penelitian, kes indeks telah menghadiri kenduri pada 28 Mac lalu dengan anggaran tetamu lebih 30 orang," katanya.