Dua kluster baharu jangkitan dalam komuniti dan ladang sawit
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Dua kluster baharu jangkitan dalam komuniti dan ladang sawit


22 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini dikenali sebagai Kluster Kebun Lama - Papar dan Kluster Kuril - Kinabatangan. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster Kebun Lama - Papar merupakan kluster kategori komuniti yang dikesan di daerah Kota Kinabalu. “Kes indeks adalah lelaki, 33, yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan sign-on kapal pada 15 Julai 2021. “Saringan kontak rapat mendapati satu kes positif di daerah Papar pada 17 Julai 2021. Berikutan penemuan kes positif itu, saringan kontak dijalankan terhadap 35 sampel dan mendapati 26 kontak positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 27 kes, lapan sampel negatif dan satu sampel masih menunggu keputusan ujian saringan. “Berdasarkan siasatan awal, punca pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan keluarga disyaki berpunca daripada majlis pengebumian pada 06 Julai 2021 di Kg Kabang diikuti majlis tahlil selama lima hari yang dihadiri 60 orang di Kg Nagapas, Papar,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Masidi berkata, Kluster Kuril - Kinabatangan berlaku di tempat kerja iaitu sebuah ladang sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan. Katanya lagi, kes indeks merupakan pemandu ladang, lelaki, 26, yang disahkan positif COVID-19 dengan keputusan RTK-Ag (grading 100%) di Klinik Mabello Paris, Kinabatangan pada 15 Julai 2021. “Saringan kontak kemudian mengesan 11 lagi kes positif dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan. Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain. “Setakat hari ini, terdapat 12 kes positif COVID-19 direkodkan termasuk 10 kes baharu,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page