Dua melecur, lori muatan tong gas LPG terbakar
- nabalunews
- Jun 21, 2025
- 1 min read

21 Jun 2025
SANDAKAN: Seorang pemandu lori dan kelindannya melecur selepas lori yang membawa muatan tong gas LPG terbakar di Jalan Damai berhampiran Taman Kam Jaiyen, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, lori yang membawa 45 tong LPG berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya selepas dipercayai terbabas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.09 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Kebakaran melibatkan sebuah lori 1.5 Tan jenis isuzu yang membawa muatan 45 tong Gas LPG terbakar 100 peratus.
“Pasukan operasi terus memulakan kerja-kerja pemadaman menggunakan aliran sepanjang 30 meter dengan 2 unit foam sumber air dari jentera dan water tanker,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang melecur di bahu dan tangan diberikan rawatan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu di lokasi kejadian.
Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.14 tengahari,” katanya.















Comments