Dua Remaja Ditemui Meninggal Dunia Dalam Kereta Dipercayai Pasangan Kekasih
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

11 Januari 2026
SANDAKAN: Dua remaja yang ditemui meninggal dunia di dalam kereta di Bandar Sejati Walk, Batu 7, di sini, dipercayai pasangan kekasih dan kejadian tiada sebarang unsur jenayah atau sangkaan khianat.
Kedua-dua mangsa berusia 18 dan 17 tahun itu pada awalnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam pada jam 8.26 pagi tadi, sebelum membuat laporan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan individu tidak sedarkan diri di dalam kereta Perodua Axia.

Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik IPK Sabah telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa melibatkan remaja lelaki serta perempuan berusia 18 dan 17 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih.
“Kedua-dua mangsa ditemui berada dalam keadaan duduk di bahagian penumpang belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua tingkap kenderaan tertutup rapat dan berkunci serta tiada kehilangan barang berharga dilaporkan.
Katanya, siasatan turut mendapati kedua-dua mangsa gagal dihubungi oleh ahli keluarga sejak Jumaat lalu.
“Kenderaan berkenaan ditemui oleh bapa kepada salah seorang mangsa di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh kedua-dua manvsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan.
“Setakat ini siasatan awal polis juga tidak menjumpai sebarang unsur jenayah atau sangkaan khianat,” katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent Sandakan bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sehubungan itu, Ramasamy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.


















Comments