top of page

Elak Terpengaruh Maklumat Tidak Sahih Media Sosial

  • nabalunews
  • Jun 9
  • 2 min read

9 Jun 2025


KOTA KINABALU: Masyarakat terutamanya golongan muda diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan oleh pempengaruh atau influencer yang digelar sebagai ‘Professor 2 Minit’ di mana-mana platform dalam media sosial.


Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, trend semasa memperlihatkan ramai yang lebih gemar mempercayai kandungan video pendek tanpa menyemak kesahihan fakta, sekali gus membuka ruang kepada penularan maklumat tidak tepat, khususnya berkaitan politik, agama, dan kesihatan.


"Sekarang ini menjadi satu trend. Tapi apa yang penting, pempengaruh-pempengaruh ini tidak berada di lapangan, beza dengan orang politik seperti kami yang turun padang, mendengar, melihat dan mengambil tindakan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api di sini pada Ahad.


Beliau turut menegaskan bahawa budaya membuat kenyataan hanya untuk meraih populariti atau pengikut di media sosial perlu dibendung dan setiap individu bertanggungjawab ke atas apa yang mereka sebarkan.


“Ini bukan soal populariti tapi yang penting, fakta itu perlu tepat. Apa yang benar kita maklumkan, apa yang tidak betul jangan digembar-gemburkan,” katanya.


Razali yang juga seorang peguam turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah, sambil memberi amaran bahawa ramai yang mungkin disaman jika tindakan itu diambil secara menyeluruh.


“Jangan sebab dua minit kita terpengaruh dan diracuni oleh fakta yang tidak sahih,” tambah beliau.


Dalam pada itu, beliau menasihati masyarakat agar rajin mencari ilmu dan tidak mengamalkan jalan pintas dalam memahami sesuatu isu.


“Kalau kita amal ilmu shortcut, bukan saja kita boleh sesat dalam fakta politik, tapi juga dalam ibadah, hukum halal haram dan juga soal medikal. Jadi kena rajin cari ilmu, bukan hanya percaya pada video dua minit,” katanya lagi.


Nasihat itu hadir ketika gelombang penyebaran maklumat separa benar di media sosial semakin meningkat khusus menjelang ambang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) oleh individu-individu tidak bertanggungjawab dan cuba mengelirukan rakyat dengan fakta-fakta yang tidak benar.


Gelombang itu, sekali gus menuntut kesedaran dan ketelitian pengguna media sosial dalam menilai ketepatan dan kesahihan sumber maklumat yang diterima.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page