Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

1 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Sekurang-kurang empat keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Padas, Manggatal, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, api dipercayai berpunca daripada lilin yang dipasang kerana terputus bekalan elektrik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.45 pagi.

Katanya, sepasukan 22 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan empat rumah jenis tidak kekal itu.
"Operasi pemadaman satu aliran, dua pancutan menggunakan teknik 'offensive' dan 'defensive' untuk memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari api lilin yang dipasang selepas kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik.
"Bagaimanapun siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran.
"Operasi terkawal pada jam 9.35 pagi dan operasi ditamatkan 11.18 pagi sebaik kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya.
Difahamkan, semua mangsa kini terpaksa menumpang di rumah saudara yang berdekatan.