Empat Pencuri Kabel Ditahan
- nabalunews
- Jul 8, 2025
- 1 min read

8 Julai 2025
KOTA MARUDU: Polis berjaya menahan empat lelaki yang dipercayai menjadi dalang kes kecurian kabel dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Longob, di sini, Ahad lalu.
Dalam serbuan jam 4.50 pagi itu, pasukan operasi turut berjaya merampas sebanyak 123 kilogram kabel elektrik yang dipercayai dicuri sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.

Katanya, serbuan dijalankan berdasarkan hasil risikan berkaitan kejadian curi kabel yang berlaku di Kampung Mangkalua, di sini, sebelum ini.
“Sebaik serbuan dijalankan, pasukan operasi menemui kira-kira 123 kilogram wayar kabel yang dicuri serta beberapa peralatan pemotong kabel (cutter).
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap keempat-empat suspek mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan turut mendapati semua suspek memiliki antara lima hingga tujuh rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Polis sentiasa memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan apa juga maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis,” katanya.















Comments