top of page

Empat pengedar dadah ditahan bersama senapang angin dan samurai

  • nabalunews
  • Jun 28, 2025
  • 1 min read

28 Jun 2025


LAHAD DATU: Empat lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam serbuan di sebuah pondok pekerja di Ladang Kemajuan Ruta, Jalan Jeroco, di sini, semalam.


Dalam serbuan yang dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, jam 4.30 petang itu turut berjaya merampas dadah, senapang angin dan pedang samurai.


Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, semua empat lelaki warga Indonesia itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui 62.35 gram syabu dianggarkan bernilai RM6,858.50 .


“Pasukan operasi turut merampas senjata berbahaya iaitu lima butir peluru penabur, satu laras senapang angin dan sebilah pedang samurai.


“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dan sumber bekalan dadah berkenaan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page