Jacquline Ebit
Enam lokaliti dikenakan PKPD pada hari ini melibatkan tiga daerah

8 Ogos 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di enam lokaliti melibatkan daerah Tawau, Kalabakan dan Kota Kinabalu bermula 10 Ogos hingga 23 Ogos ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, antara lokaliti yang terlibat ialah tiga lokaliti di Tawau iaitu di Blok 11 Kg Titingan Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan Kampung Rawa-Rawa Batu 4.
"Dua lokaliti di Kalabakan pula melibatkan kawasan perumahan ladang iaitu Perumahan Ladang Kapur, Benta dan Wawasan Perumahan Ladang Serudung, Usahawan Borneo.
"Manakala satu lokaliti di Kota Kinabalu melibatkan Kampung Padas.
“Pelaksanaan PKPD di kesemua lokaliti itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, secara keseluruhannya sebanyak 142 lokaliti PKPD aktif di seluruh Sabah setakat hari ini.
“Daripada jumlah itu Kota Kinabalu mempunyai PKPD terbanyak iaitu 22 lokasi, diikuti Tawau (19 lokaliti), Penampang (16 lokaliti), Keningau (14 lokaliti), Beaufort (13 lokaliti) dan Tuaran sebanyak 11 lokaliti aktif.
“Daerah-daerah lain mempunyai PKPD aktif kurang daripada 10 lokaliti,” katanya.