Enam lot kedai musnah, 2 lagi selamat dalam kebakaran
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

12 November 2025
TAWAU: Enam lot kedai musnah, manakala dua lagi berjaya diselamatkan apabila satu deret bangunan kedai di Kg Kinabutan kecil Batu 4, Jalan Apas terbakar awal pagi tadi.
Sebuah kereta jenis Perodua Axia turut terjejas dalam insiden itu kerana terkena bahangan api sekitar 10 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, sepasukan 12 anggota bersama empat jentera, termasuk utiliti dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.47 pagi menerusi MERS999.

Sebaik tiba di lokasi, katanya, pihaknya menjalankan pemadaman menggunakan dua aliran, tiga pancutan dengan 300 kaki menerusi sumber air dari tangki jentera.
“Kebakaran ini melibatkan sederet bangunan kedai sebanyak lapan lot jenis tidak kekal berkeluasan 70 x 30 kaki persegi.
“Insiden ini memusnahkan enam lot kedai dengan kemusnahan 80 peratus, manakala dua lot kedai lagi berjaya diselamatkan, dan sebuah kereta Perodua Axia turut terjejas,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Jemishin berkata, pasukannya berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.25 pagi dan menamatkan sepenuhnya operasi pada jam 5.58 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Tiada mangsa dilaporkan dalam insiden tersebut, manakala, punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam siasatan.














