ESSCom rancang guna aplikasi keselamatan pelancong di ESSZone
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ESSCom rancang guna aplikasi keselamatan pelancong di ESSZone


9 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), merancang untuk menggunakan satu aplikasi keselamatan untuk memastikan pelancong yang berada di kawasan zon selamat timur Sabah (ESSZone) selamat dan terlindung.


Aplikasi ini akan dikoordinasikan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan akan membolehkan ESSCom mengesan pergerakan pelancong di ESSZone dengan mudah.


Komander ESSCom DCP Victor Sanjos berkata aplikasi ini akan memudahkan pihaknya memberi perlindungan kepada pelancong jika perlu.


“Pelancong merupakan aset utama di ESSZone, kemasukan pelancong memberi manfaat limpahan ekonomi termasuk dari segi permintaan resort, hotel, pengangkutan termasuk restoran, jadi untuk memastikan mereka ini selamat kita (ESSCom) kena tahu pergerakan mereka,” katanya.


Jelas beliau, aplikasi ini juga akan mengikut contoh negara maju yang telah menggunakan aplikasi keselamatan untuk menjaga pelancong yang masuk ke negara mereka.


“Mereka masuk kami imbas guna (aplikasi keselamatan) telefon bimbit mereka, jadi kami tahu pergerakan mereka dan kami boleh hantar aset kami untuk meninjau serta menjamin keselamatan mereka,” katanya lagi.


Beliau berkata seramai 54,795 pelancong telah melawat kawasan ESSZone dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding 31,619 tempoh sama pada tahun lepas.


Ini menunjukkan pelancong semakin yakin dengan tahap keselamatan di ESSZone, katanya.


Beliau juga menyokong cadangan penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk meningkatkan tahap keselamatan di ESSZone, seperti yang disaran oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.


“Ini penting kerana penggunaan teknologi tinggi ini dapat mempercepatkan maklumat di lapangan dan memberi arahan kepada aset-aset di bawah, maksudnya tidak membuang masa dalam menjalankan tugas,” katanya.


Dalam pada itu, Victor juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk ESSCom membabitkan penyediaan utiliti serta fasiliti termasuk kediaman di Lahad Datu.


“Ini supaya mereka yang ditugaskan menyertai ESSCom datang bersama komitmen dan tidak perlu risau tentang masalah perumahan ataupun penempatan,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page