• nabalunews

ESSCOM TAHAN TUJUH DISYAKI PENGEDAR DADAH


20 DIS 2020


SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan empat lelaki dan tiga wanita di perkampungan atas air Kampung Batu di sini Khamis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, Khamis lepas.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kesemua suspek termasuk tiga warga asing berusia antara 16 dan 80 tahun itu ditahan antara pukul 4.00 dan 4.15 petang, dan pihaknya turut merampas 139.82 gram dadah jenis syabu bernilai RM13,000.

"Dalam serbuan pertama di sebuah rumah tidak bernombor, tiga lelaki serta dua wanita ditahan bersama 151 paket plastik kecil berisi syabu (82.78 gram) yang dijumpai di lantai ruang tamu, selain 50 gulung foil aluminium, wang tunai RM3,806 dan barangan kemas.

"Pada serbuan kedua di sebelah rumah, seorang wanita dan seorang lelaki ditahan bersama 57.04 gram paket syabu yang disimpan di dalam beg tangan bersama 20 gulung foil aluminium, wang tunai RM3,019 dan 300 peso serta barangan kemas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya semua suspek termasuk lima darinya yang didapati positif syabu, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Ahmad Fuad berkata berharap komuniti pesisir pantai dapat membantu pasukan keselamatan untuk menyalurkan maklumat berhubung perlakukan jenayah di kawasan masing-masing dalam Zon Selamat Timur Sabah, dengan menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) ESSCom di talian 089-863181 yang beroperasi 24 jam. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com