top of page

Ewon bangkitkan risiko keselamatan berkaitan pelarian dan pendatang asing di Sabah

nabalunews
1 hour ago
2 min read

8 Oktober 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick membangkitkan persoalan mengenai risiko keselamatan berkaitan keberadaan generasi pelarian dan pendatang asing dari Filipina di Sabah pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau meminta penjelasan Kementerian Pertahanan sama ada keadaan itu diiktiraf sebagai satu bentuk risiko keselamatan dalam negara, mengambil kira kedudukan Sabah yang dekat dengan kepulauan dan wilayah Filipina.


“Dengan kedudukan Sabah yang dekat dengan kepulauan atau wilayah Filipina, sudah tentu terdapat pergerakan manusia antara kedua-dua wilayah.


“Dewan ini juga maklum mengenai kebanjiran generasi pelarian dan pendatang asing dari Filipina sejak dahulu. Adakah Kementerian Pertahanan mengiktiraf keadaan ini sebagai satu bentuk risiko keselamatan dalam negara?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan.


Ewon turut bertanya sama ada kegiatan risikan dijalankan mengenai propaganda dalam kalangan generasi pelarian dari Filipina yang mungkin mempunyai kaitan dengan tuntutan pihak tertentu dari negara itu terhadap Sabah.


“Melalui pendekatan whole of society dan whole of government, adakah kegiatan risikan dijalankan mengenai propaganda dalam kalangan generasi pelarian dari Filipina yang mungkin berkait dengan tuntutan beberapa pihak dari negara itu?


“Jika kegiatan risikan tersebut dijalankan, adakah kementerian bersedia berkongsi dapatan dengan wakil rakyat Sabah atau pihak berkaitan di Sabah?” katanya.


Soalan tambahan itu dikemukakan susulan jawapan Timbalan Menteri Pertahanan Haji Adly Zahari terhadap soalan lisan Ewon mengenai usaha Kerajaan Persekutuan mengimbangi kehadiran lebih ketara serta pembangunan fasiliti tentera Amerika Syarikat dan Filipina di Pulau Balabac.


Menjawab soalan tambahan itu, Adly berkata, cabaran dan ancaman keselamatan negara, sama ada tradisional atau bukan tradisional, dinilai daripada pelbagai aspek dan dari semasa ke semasa.


“Dalam aspek pertahanan, kita berdepan dengan cabaran dan ancaman tradisional serta bukan tradisional. Kedua-duanya dinilai daripada pelbagai aspek kerana cabaran keselamatan negara di sempadan bukan sahaja berkaitan dengan ketenteraan, tetapi turut melibatkan penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.


Beliau berkata, selain usaha Kementerian Pertahanan melengkapkan aset pertahanan di Sabah, tanggungjawab menjaga keselamatan negara turut melibatkan kementerian, agensi dan masyarakat.


Menurutnya, pendekatan whole of government dan whole of society penting bagi memastikan penyelarasan antara semua pihak dalam memahami serta menangani ancaman keselamatan.


Beliau memberikan contoh penyelarasan di Pulau Banggi yang turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan pihak berkaitan mengetahui ancaman yang dihadapi.


“Kita berusaha sebaik mungkin supaya bukan sahaja wakil rakyat, tetapi seluruh rakyat Sabah, termasuk penduduk di kawasan kepulauan, memahami kesan tindakan mereka serta ancamannya terhadap Sabah dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.


Adly turut menegaskan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara adalah keutamaan kerajaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page