top of page

Ewon Beri Sokongan Kepada Lampas Athletics Kota Belud Sebagai Platform Pengembangan Atlet Muda

  • nabalunews
  • Dec 5, 2024
  • 2 min read




5 Disember 2024


KOTA BELUD: Dalam usaha memacu pembangunan sukan di Kota Belud, Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, menyalurkan sumbangan kepada Kelab Lampas Athletics untuk meningkatkan kualiti latihan dan menyediakan peralatan sukan yang diperlukan dalam menjayakan misi kelab itu untuk mencungkil bakat baharu serta mengasah potensi atlet muda tempatan.


Sumbangan itu telah disampaikan oleh Pemaju Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil yang mewakili Ewon.


Penerima sumbangan, Jackryson Ahyit yang mewakili pihak kelab, merakamkan penghargaan terhadap inisiatif tersebut yang dianggap sebagai dorongan besar kepada perkembangan kelab.


Ditubuhkan pada 20 April 2023, Kelab Lampas Athletics Kota Belud bertujuan menjadi platform utama dalam mencungkil bakat baharu serta menggilap potensi atlet muda tempatan agar dapat menyinar sehingga ke peringkat tertinggi dalam sukan.


Kelab ini didukung oleh tokoh pendidikan dan komuniti seperti Guru Besar Alfred Timbon, yang kini bertindak sebagai pengerusi kelab, bersama-sama dengan jurulatih dan penasihat seperti Cikgu Jinnius Maitum, Jennet Gindawa, Jackryson Ahyit, dan Anddey Choo.


“Lampas Athletics bukan sahaja melatih fizikal atlet tetapi juga memupuk nilai-nilai kepimpinan dan disiplin. Matlamat kami adalah untuk melahirkan atlet muda yang mampu memberi inspirasi serta membanggakan komuniti mereka,” ujar Jackryson.


Katanya Kelab Lampas Athletics memberi fokus kepada pelajar di Kota Belud bagi membuka peluang untuk mereka bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.


Meskipun baru setahun ditubuhkan, Lampas Athletics telah merekodkan pencapaian mengkagumkan.


Pasukan ini telah mengumpulkan pelbagai pingat dalam beberapa kejohanan utama seperti RS Kinabalu Athletics League (RSKAL) 1, dengan kejayaan membawa pulang 2 pingat emas, 2 perak, dan 3 gangsa.


Dalam kejohanan di Ranau International Open, peserta kelab membawa pulang 1 pingat emas, 2 perak, dan 1 gangsa.


Manakala dalam kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Belud, atlet dari kelab itu berjaya memenangi 14 pingat emas yang membuktikan kemampuan dan dedikasi para atlet serta jurulatih kelab.


Namun begitu, Jackryson mengakui bahawa kekurangan peralatan sukan masih menjadi cabaran utama kelab.


Sehubungan itu katanya sumbangan yang disampaikan oleh Ewon adalah langkah penting dalam membantu pasukan membuat persediaan ke Kejohanan RSKAL 2024, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada 20 hingga 22 Disember ini.


Menurut Clarence, Ewon sentiasa komited menyokong inisiatif pembangunan sukan di daerah ini.


Beliau turut menyampaikan salam daripada Ewon kepada para peserta kelab dan menggalakkan mereka untuk terus mengharumkan nama Kota Belud dalam olahraga.


Clarence yakin dengan sokongan komuniti, latihan intensif, dan visi yang jelas, Lampas Athletics Kota Belud bakal menjadi kuasa besar dalam dunia olahraga.


"Kelab ini bukan sahaja melatih atlet berbakat tetapi juga membentuk generasi muda yang berdisiplin dan berpotensi besar untuk bersinar di peringkat antarabangsa," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page