Ewon cadang pendekatan baharu pelaksanaan projek infrastruktur di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadang pendekatan baharu pelaksanaan projek infrastruktur di Sabah


Datuk Ewon Benedick

24 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan pendekatan baharu bagi memudahkan pelaksanaan setiap projek baharu pembangunan infrastrukutur di Sabah.


Beliau berkata, antara pendekatan itu ialah Kementerian Kerja Raya Sabah menyediakan peruntukan kepada juruperunding Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk rekabentuk jalan bagi projek-projek baharu persekutuan di negeri ini.


“Adakah pihak kementerian (Kementerian Kerja Raya Sabah) bersedia menerima cadangan atau pendekatan baharu ini misalnya apabila kita mengemukkan projek baharu untuk kelulusan bagi tahun Rolling Plan itu, kita sediakan dahulu bajet untuk buat rekabentuk.


“Kita biayai kerja-kerja juruperunding itu supaya apabila siap dan diperakukan seterusnya dilulus dan menerima peruntukan, projek itu terus ditender dan laksanakan.


“Sebab apa yang saya faham sekarang ini, juruperunding akan dilantik untuk membuat rekabentuk selepas sesuatu projek infrastrukutur itu diluluskan,” katanya ketika mencelah semasa Menteri Kerja Raya Datuk Bung Moktar Radin menyampaikan penggulungan bagi kementerian itu, kelmarin.


Sambil menyokong ucapan Bung di Parlimen baru-baru ini, Ewon Berkata pelaksanaan tender terbuka dalam perancangan pembangunan di negeri ini yang menjadi amalan sebelum ini tidak lagi releven.


“Di Kadamaian, banyak jalan yang kelulusan telah diumumkan oleh kerajaan dahulu, kerajaan lepas dan sekarang, begitu banyak pengumuman.


"Komen rakyat Kadamaian ialah mereka tidak percaya kelulusan itu selagi jalan itu belum dibaiki atau dinaiktaraf.


"Suara mereka itu diwakili oleh YB Menteri baru-baru ini dalam Dewan Rakyat dan kami amat menghargainya,” kata Ewon.


Bagi menjawab pertanyaan itu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pendekatan seumpama itu telahpun dibincangkan.


“Sememangnya ada juga kita bincang pendekatan sedemikian, cuma kebimbangan kita ialah apabila kita design tahun ini, peruntukan dapat empat tahun kemudian, design itu tidak sama sudah, harga pun berbeza jadi dua kali buat (rekabentuk).


“Di Sabah, saya telah panggil beberapa kali mesyuarat untuk membincangkan pendekatan yang paling baik untuk memastikan infrastruktur di negeri ini dapat dilaksanakan dengan pendekatan baharu.


“Saya kata dengan Menteri Kewangan, pendekatan untuk tender terbuka tidak lagi sesuai untuk Sabah sebab satu projek perlukan tiga tahun setengah untuk dilaksanakan, jadi ia tidak sesuai sudah,” katanya.


Bung berkata, pihaknya akan mencari jalan terbaik untuk memastikan bagaimana pendekatan baharu itu dapat diselaraskan sebagai tuntutan rakyat Sabah.

bottom of page