Ewon cadang sambutan Krismas Negeri Sabah 2026 dikekalkan konsep sama
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

20 Disember 2025
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya konsep sambutan Krismas Peringkat Negeri tahun 2026 dikekalkan dengan konsep penganjuran yang sama tahun ini, dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC).
Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu berkata, penganjuran sambutan Krismas peringkat negeri tahun ini bukan sahaja mencatat sejarah baharu dalam penganjuran rasmi kerajaan, malah menjadi manifestasi komitmen Sabah terhadap jaminan kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya akan mencadangkan kepada Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Sabah supaya kita terus mengekalkan konsep sambutan Krismas Peringkat Negeri tahun ini pada tahun hadapan.
“Kerajaan Sabah telah mengangkat sambutan Krismas yang sebelum ini 19 tahun dilaksanakan oleh Sabah Council of Churches dengan kerjasama DBKK, menjadi sambutan rasmi peringkat negeri.
“Ini adalah manifestasi kepada jaminan Perlembagaan dan syarat pembentukan Malaysia yang menghormati hak rakyat mengamalkan agama masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan rasmi Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah, di Padang Merdeka, di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Sabah.
Ewon yang juga Pengerusi Penganjur sambutan itu berharap penganjuran itu terus menjadi platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum serta agama di negeri ini.
“Kita hidup dalam masyarakat majmuk, ada Kristian, Islam, Buddha dan lain-lain agama. Jika bukan kita yang menjaga keharmonian ini, siapa lagi?
“Dengan rasa hormat, toleransi dan kebersamaan, saya yakin kita mampu mempertahankan keamanan negeri ini,” katanya.

Ewon turut menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Ketua Menteri, kerajaan negeri akan terus memacu Sabah ke arah masa depan yang lebih baik berasaskan perpaduan dan keharmonian rakyatnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Thomas Logijin, DBKK dan SCC selaku jawatankuasa pelaksana dan semua yang terlibat menjayakan sambutan ini.
“Terima kasih kepada ribuan rakyat Sabah yang datang dari pembukaan sambutan pada 16 Disember sehingga ke penutupannya pada malam ini,” katanya.


















Comments