Hampir RM1 Bilion Untuk 45,000 Usahawan Dan Koperasi Sabah, Kuskop Terus Pacu Ekonomi Negeri
nabalunews
2 minutes ago
2 min read

25 OKTOBER 2026
KOTA KINABALU, 25 OKTOBER 2026 - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan dana pembiayaan berjumlah hampir RM1 bilion kepada 45,000 usahawan dan koperasi di Sabah setakat September 2026.
Penyaluran pembiayaan ini mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi Sabah menerusi peluasan akses pembiavaan serta pelbagai inisiatif pembangunan usahawan.
Selain pembiayaan, KUSKOP turut memperkukuh infrastruktur perniagaan melalui pelaksanaan 134 projek Tamu Desa di Sabah bagi tempoh 2024 hingga 2026, melibatkan peruntukan sebanyak RM30.53 juta. Inisiatif ini menyediakan ruang niaga yang lebih selesa, selamat dan kondusif, khususnya kepada usahawan luar bandar, bagi menyokong kelancaran operasi perniagaan mereka.

Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah turut diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan inisiatif pembangunan keusahawanan dan koperasi lebih berkesan, memenuhi keperluan setempat serta memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Komitmen ini turut diterjemahkan menerusi penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2026 dengan tema "Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoiii".
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, mewakili YAB Ketua Menteri Sabah.
Setakat 24 Oktober, karnival ini telah menarik kehadiran 35,000 pengunjung dan dijangka mencapai sasaran awal iaitu seramai 50,000 orang pengunjung. Nilai jualan produk usahawan juga setakat ini telah merekodkan jualan melebihi RM263,000.00

Di samping itu, karnival ini turut membuka peluang padanan perniagaan bernilai sehingga RM999,000 yang melibatkan 47 usahawan, sekali gus memperluas jaringan dan peluang pasaran kepada usahawan tempatan.
Karnival HPM merupakan inisiatif KUSKOP di bawah agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang bertujuan memperkukuh budaya keusahawanan, memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi kepada pelbagai sokongan pembangunan perniagaan. Karnival ini turut menyediakan platform pameran, promosi produk tempatan dan sesi bimbingan keusahawanan.
Dalam usaha memperkasa pendigitalan PMKS, TikTok Shop selaku rakan strategik karnival turut menyokong pembangunan usahawan melalui pelbagai inisiatif digital.
Karnival ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Usahawan Sabah TikTok Shop sebagai pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berjaya memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan dan memperluas capaian pasaran.
Pengiktirafan ini sekali gus menyerlahkan potensi ekonomi digital dalam melahirkan usahawan Sabah yang lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing.















Comments