top of page

Ewon Gesa Lima Isu Tertunggak MA63 Dimuktamadkan, Cadang Tambahan Bayaran Petroleum Sabah

nabalunews
1 hour ago
2 min read

13 Oktober 2026


KUALA  LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memuktamadkan isu tertunggak berkaitan hak Sabah dan Sarawak, termasuk pembayaran tunai petroleum, royalti minyak dan duti setem tanah.


Beliau berkata lima perkara yang belum dapat diputuskan melalui Jawatankuasa Teknikal dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 perlu dibawa ke peringkat tertinggi untuk penyelesaian.


Lima perkara itu melibatkan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012, hak negeri ke atas pelantar benua serta duti setem yang dikenakan di bawah Ordinan Tanah Sabah dan Kanun Tanah Sarawak.


Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat kelmarin, Ewon turut mencadangkan supaya bayaran tunai petroleum sebanyak lima peratus yang diterima Kerajaan Persekutuan daripada Petronas diberikan kepada Sabah sebagai tambahan kepada lima peratus yang diterima kerajaan negeri ketika ini.


Beliau berkata cadangan itu boleh menjadi langkah permulaan bagi menyemak semula mekanisme pembayaran petroleum kepada Sabah.


Menurutnya, langkah berkenaan memerlukan komitmen politik dan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan kedudukan Sabah sebagai antara negeri pengeluar petroleum negara.


Ewon turut merujuk kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah yang juga saksi kepada pemeteraian Perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974, bahawa pembayaran tunai petroleum lima peratus kepada Sabah tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet Sabah ketika itu.


Sehubungan itu, beliau berpendapat perkara berkenaan wajar dikaji semula melalui rundingan di peringkat tertinggi kerajaan.


Dalam isu berkaitan, Ewon mencadangkan supaya kutipan hasil duti setem yang dikenakan di bawah Ordinan Tanah Sabah dikongsi pada kadar 50:50 antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah.


Beliau berkata penyelesaian terhadap isu berkenaan penting bagi memperkukuh pelaksanaan MA63 dan memastikan kepentingan Sabah dalam perkongsian hasil negara diberikan perhatian sewajarnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page