- Wartawan Nabalu News
EWON GESA PENDUDUK KADAMAIAN DAFTAR PROGRAM OUTREACH VAKSINASI DI 4 KAMPUNG

8 Jun 2021
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menggesa penduduk Kadamaian di Mukim Kiau, Kaung, Sayap dan Lasau untuk program outreach vaksinasi di mukim-mukim tersebut.
“Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud telah menghubungi saya berkenaan kadar pendaftaran vaksinasi yang masih rendah. Justeru antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah program outreach vaksinasi di Kg Kiau, Kg Kaung, Kg Sayap dan Kg Lasau di mana pemberian suntikan vaksin akan dilaksanakan di kampung-kampung ini.
“Mukim-mukim ini dipilih kerana berada jauh daripada Pekan Kota Belud dan Klinik Kesihatan Taginambur yang menjadi pusat pemberian vaksin. Jarak yang jauh ini menyebabkan kesukaran logistik terutama pengangkutan daripada kampung ke pusat vaksin.
“Kampung-kampung tersebut juga dipilih kerana mempunyai kemudahan klinik desa,” katanya.
Justeru, Ewon berharap agar penduduk yang menetap di kampung-kampung dalam mukim tersebut mengambil peluang melalui program outreach yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Kota Belud tersebut.
“Ada borang khas yang perlu diisi berkaitan maklumat pemohon vaksin dan persetujuan menerima vaksin. Para penduduk boleh menghuhungi klinik desa tersebut untuk pendaftaran. Saya juga dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing sudah dimaklumkan mengenai program ini.
“Pendaftaran tersebut penting bagi membolehkan Pejabat Kesihatan mendapatkan jumlah dos vaksin yang akan dibawa semasa pemberian vaksinasi kelak. Justeru saya mengharapkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mendaftar untuk program ini,” katanya.
“Bagi penduduk kampung yang sudah mendaftar melalui MySejahtera, saya dimaklumkan mereka perlu mendaftarkan nama melalui borang khas tersebut sekiranya mahu menerima suntikan vaksin di kampung yang terpilih tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Khidmat ADUN Kdamaian yang mempunyai empat orang kakitangan juga boleh dihubungi berkaitan program tersebut dan akan membantu pendaftaran.