Ewon hadiri pemberkatan Evangelists Chapel St Michael Penampang
- nabalunews
- 31 minutes ago
- 1 min read

20 Disember 2025
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menghadiri Misa Pemberkatan Evangelists Chapel, St Michael Penampang yang disempurnakan oleh Yang Mulia Uskup Agung Kota Kinabalu, Bapa Uskup John Wong, di sini hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang merakamkan tahniah kepada pimpinan Paroki St Michael Penampang serta penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dalam pembinaan chapel berkenaan.
“Tahniah kepada pimpinan Paroki St Michael dan terima kasih kepada semua penyumbang sehingga terbinanya Chapel ini,” katanya.
Ewon berkata, semasa berada dalam Kabinet Persekutuan sebelum ini, pejabatnya telah membantu mempermudah dan menyalurkan peruntukan di bawah Program Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sebanyak RM186,000 bagi pembinaan chapel tersebut.
Selain menghadiri misa pemberkatan, beliau turut melakukan lawatan tapak ke projek pembinaan Tadika Harmoni St Michael Penampang yang kini sedang giat dilaksanakan hasil sumbangan dana awam.
Ewon berkata projek berkenaan masih memerlukan sokongan dana daripada masyarakat bagi memastikan pembinaannya dapat diteruskan dan disiapkan mengikut perancangan.
“Apabila siap sepenuhnya, bangunan ini mampu menampung maksimum 500 murid, sekaligus menjadi platform penting permulaan pembangunan modal insan di Penampang,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai pihak tampil membantu menyokong usaha pendidikan masyarakat setempat demi manfaat generasi akan datang.














