Ewon Hulur Dana Pendidikan kepada Dua Pelajar di Kadamaian
- nabalunews
- Jul 9, 2025
- 2 min read

9 Julai 2025
KOTA BELUD: Ehsan menjadi kata kunci yang menggambarkan keprihatinan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, apabila beliau tampil menghulurkan bantuan kewangan kepada dua pelajar di kawasan Kadamaian yang sedang berusaha melanjutkan pelajaran masing-masing.
Bantuan tersebut disampaikan melalui wakil Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian dalam dua sesi berasingan kepada penerima yang memerlukan dana bagi menampung kos pengajian dan keperluan mendaftar ke institusi pendidikan tinggi.
Dalam sesi pertama, Shainim Epin mewakili Ewon untuk menyerahkan sumbangan kepada adik Anneyvia Danil, yang diwakili oleh ibunya Nancy Sambuling daripada Kampung Taginambur.
Menurut Nancy, sumbangan initersebut digunakan untuk melangsaikan tunggakan yuran pengajian Anneyvia di Mahsa College Sabah Campus, Kota Kinabalu dalam jurusan Diploma Pentadbiran Perniagaan. Disebabkan tunggakan tersebut, pihak kolej sebelum ini tidak dapat mengeluarkan sijil diplomanya.
Nancy turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ewon atas bantuan yang diterima, yang disifatkan sebagai penyumbang utama dalam usaha anak beliau mendapatkan kembali sijil penting untuk masa depan akademik dan kerjaya.

Sementara itu, sumbangan kedua disampaikan oleh Hadlee Panchai kepada adik Lizzielyin Clarence, yang diwakili oleh bapa beliau, Clarence Somuil dari Kampung Lasau Minunsud. Dana yang diberikan bertujuan membantu proses lapor diri anaknya ke Kolej SIDMA Sabah dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang dijadual bermula 8 September 2025.
Clarence turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan itu yang jelas meringankan beban keluarga mereka, khususnya dalam menghadapi kos permulaan pengajian anaknya di peringkat ijazah.
Hadlee dalam kenyataannya, menegaskan bahawa Ewon sentiasa komited dalam membantu komuniti Kadamaian, dengan menekankan pendekatan sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada permasalahan rakyat. Walaupun tidak semua isu mampu diselesaikan sepenuhnya, usaha yang dilakukan adalah bukti kesungguhan beliau dalam memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan ADUN Kadamaian dalam membangunkan modal insan melalui akses kepada pendidikan tinggi. Pendekatan yang bersifat mesra rakyat dan responsif ini selari dengan dasar kerajaan untuk memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada peluang pendidikan kerana kekangan kewangan.
Tindakan Ewon menunjukkan bahawa kepimpinan yang berteraskan ehsan bukan sahaja menginspirasikan, malah mampu mencipta perubahan nyata dalam kehidupan masyarakat akar umbi.















Comments