top of page

Ewon minta kerajaan teruskan Program PANTAS di Kadamaian, naiktaraf kemudahan infra

Wartawan Nabalu News

18 November 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meminta kerajaan negeri meneruskan Program Penyukatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) di kawasannya dan menaiktaraf kemudahan infrastruktur lain termasuk jalan raya dan pelancongan.


Beliau meminta supaya Program PANTAS dapat diteruskan di Kadamaian sekurang-kurangnya satu kampung setiap tahun terutama di kampung-kampung yang berkecerunan tinggi seperti Kg Sayap, Kg Terintidion, Kg Melangkap, Kg Lobong-Lobong, Kg Kaung, Kg Gensurai, Kg Podos, Kg Pinolobuh, Kg Lasau dan Kg Lahanas serta kampung-kampung lain.


“Bagi pihak rakyat Kadamaian, saya berterima kasih di atas pelaksanaan penyukatan tanah di bawah Program PANTAS yang telah dilaksanakan di Kg Kiau dan Kg Tambatuon.

 

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah di atas sokongan kuat dalam menjadikan keperluan-keperluan rakyat Kadamaian sebagai keutamaan dalam projek pembangunan Kerajaan terutama melibatkan projek infrastruktur (jalan, jambatan dan bangunan awam) dan bekalan utiliti (air, elektrik dan telekomunikasi),” katanya.


Ewon berkata, ketika ini beberapa projek utama di Kadamaian sedang dilaksanakan, antaranya menaiktaraf Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos dan Jambatan Kaung, bekalan air dan elektrik luar.

 

Bagaimanapun katanya, masih banyak keperluan rakyat Kadamaian. “Saya mahu projek naiktaraf Jalan Gaur-Bukid- Mangkulat, Jalan Kebidahan, Jalan Kinasaraban-Kelawat, Jalan Melangkap-Gensurai dan Jalan Kiau- Lobong-Lobong yang menjadi laluan jalan utama rakyat Kadamaian, dimasukkan dalam senarai keutamaan”.


“Saya juga mencadangkan agar laluan ketiga mendaki ke Gunung Kinabalu dapat dibina daripada Kg Sayap dan kemudahan infra pelancongan kaki gunung Kinabalu di Kg Kiau, Kg Gensurai dan Kg Melangkap dapat disediakan serta kemudahan laluan serta infra yang bersesuaian untuk pelancongan di Gunung Nungkok di Kg Lobong-Lobong, Kg Kaung dan Kg Tambatuon juga dapat disediakan.

 

“Saya juga mengalu-alukan penganjuran semula Mount Kinabalu International Climbathon. Untuk ini saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah membangunkan sukan berasaskan Gunung Kinabalu yang lain seperti Kinabalu Ultra Marathon yang boleh melalui laluan larian mencakupi beberapa daerah bersempadan Gunung Kinabalu,” katanya.

 

Ewon berkata, kerajaan boleh menaiktaraf Kadamaian Ultra Marathon yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas untuk dibangunkan bagi tujuan ini.


Katanya, laluan yang sama bukan hanya boleh digunakan untuk pelari lasak marathon, tetapi juga penggemar basikal gunung (mountain bikers).

 

“Pada masa ini, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah sedang melaksanakan Kajian Penilaian Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 dan apabila kajian penilaian ini siap, saya akan memanjangkan laporannya kepada Kerajaan Sabah untuk dijadikan sebagai dokumen input rakyat Kadamaian bagi Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030 termasuk Rancangan Pembangunan Sabah dalam tempoh tersebut,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page