5,879 usahawan Sabah terima manfaat Program SME-UP: Ewon

24 Oktober 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, seramai 5,879 usahawan Sabah menerima manfaat daripada Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah sejak diperkenalkan pada 2017 hingga 2025.
Beliau berkata, program itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan kapasiti pengeluaran, kualiti produk serta daya saing perniagaan.
Katanya, bantuan yang disediakan merangkumi perolehan mesin dan peralatan, pembungkusan, pelabelan serta mesin retort bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran usahawan tempatan.
“Pada tahun ini, kita juga buat pertama kalinya memperkenalkan bantuan bagi pensijilan halal dan pendaftaran cap dagangan di bawah Program SME-UP.
“Ini merupakan antara pendekatan kita untuk memastikan usahawan bukan sahaja mampu menghasilkan produk berkualiti, tetapi juga memenuhi keperluan pasaran dan meningkatkan daya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Sesi Townhall Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, di sini, hari ini.
Sesi yang berlangsung sempena Karnival HPM itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Viviantie Sarjuni.
Ewon berkata, MINDET turut memperkukuh akses pasaran produk tempatan melalui kerjasama dengan rangkaian peruncitan seperti Pasar Raya Bataras, Kedai Mesra PETRONAS dan AEON.
Katanya, sehingga 2025, kerjasama dengan Bataras dan Kedai Mesra PETRONAS telah memberi manfaat kepada 630 usahawan Sabah dengan menyediakan peluang memasarkan produk mereka melalui rangkaian peruncitan berkenaan.
“Bagaimanapun, sambil kita meneruskan usaha membantu usahawan mikro dan kecil, khususnya dalam pengeluaran produk makanan, kita juga mesti memberikan perhatian kepada agenda penskalaan perusahaan.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan mikro berkembang menjadi perusahaan kecil, seterusnya perusahaan sederhana dan syarikat yang lebih besar,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan dasar khas pajakan tanah perindustrian bagi membantu syarikat tempatan Sabah membangunkan kilang di taman-taman perindustrian.
Katanya, beberapa syarikat tempatan telah menyatakan minat untuk memanfaatkan dasar berkenaan, khususnya bagi pembangunan kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Beliau berkata, MINDET juga telah mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu kepada Kementerian Kewangan Sabah untuk pertimbangan dalam Belanjawan Sabah 2027.
“Seperti pendekatan saya ketika menerajui KUSKOP sebelum ini, tanpa mengurangkan fokus terhadap program sedia ada, kita mahu memperkenalkan inisiatif tambahan yang dapat memberikan manfaat lebih besar kepada usahawan.
“Kita berharap cadangan-cadangan ini mendapat pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan Sabah 2027 supaya lebih ramai usahawan dapat dibantu meningkatkan skala dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.















Comments