Operasi 24 jam agensi Kerajaan di Pelabuhan Sepanggar secara OT ikut permohonan pemilik kontena
nabalunews
22 minutes ago
2 min read

23 Oktober 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan waktu operasi 24 jam oleh agensi kerajaan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar ketika ini dibuat secara kerja lebih masa (OT) berdasarkan permohonan pengguna pelabuhan.
Beliau berkata, pelaksanaan itu melibatkan agensi kerajaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertanggungjawab dalam proses pelepasan kontena.
Bagaimanapun katanya, permohonan Kerajaan Sabah untuk mewartakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar bagi membolehkan pelaksanaan operasi 24 jam masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
“Satu daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang dipersetujui oleh Kabinet Kerajaan Sabah ialah penyelarasan pelaksanaan waktu kerja 24 jam oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam proses pelepasan kontena.
“Pada ketika ini, pelaksanaan waktu operasi 24 jam tersebut dilaksanakan mengikut waktu kerja lebih masa (OT) oleh agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengikut permohonan pengguna pelabuhan.
“Walau bagaimanapun, permohonan mewartakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar bagi operasi 24 jam oleh Kerajaan Sabah masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ewon berkata, perkara itu turut dijelaskannya ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media sempena Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kudat baru-baru ini.
Beliau berkata, pelaksanaan waktu operasi 24 jam merupakan antara 10 Pelan Tindakan Sementara yang dipersetujui Kabinet Sabah bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Katanya, kesesakan itu berpunca daripada keterbatasan kawasan penyimpanan kontena sedia ada, sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan yang mempunyai lanjutan masa (EOT) semasa sehingga Oktober 2027.
Menurutnya, pelaksanaan 10 pelan tindakan berkenaan dipantau dan diselaraskan oleh sebuah Pasukan Petugas (Task Force) yang dipengerusikannya.
“Task Force ini dianggotai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, persatuan-persatuan yang mewakili pengguna pelabuhan serta syarikat konsesi dan operator pelabuhan.
“Pasukan petugas ini memantau penyelarasan pelaksanaan 10 Pelan Tindakan Sementara bagi menangani isu kesesakan akibat keterbatasan kawasan penyimpanan kontena sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata, penyediaan kawasan parkir transit treler kontena oleh Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut menjadi satu daripada 10 pelan tindakan berkenaan.
Katanya, kawasan parkir transit itu sudah dibuka dan mula digunakan oleh syarikat perkhidmatan treler kontena.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat perkhidmatan treler kontena menggunakan kemudahan yang disediakan dan tidak lagi meletakkan treler mereka di bahu jalan.















Comments