top of page

Program Komuniti Prihatin sokong kesihatan mental, hapus stigma di Kota Belud

nabalunews
1 day ago
1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


22 Oktober 2026


KOTA BELUD – Seramai 30 orang peserta menyertai Program Komuniti Prihatin di Dewan Kampung Lahanas Sokid, Kota Belud, hari ini bagi menyokong kesihatan mental dan menghapuskan stigma terhadap penyakit mental selaras dengan SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan.


Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 1 tengah hari itu dianjurkan oleh APPGM-SDG (All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian.


Bertemakan “Komuniti Sihat, Masyarakat Sejahtera” dan berteraskan “Dengar, Faham, Sokong, Bersama Lebih Sihat”, program itu bertujuan memberi kesedaran serta mengukuhkan peranan komuniti dalam menyokong individu yang berdepan masalah kesihatan mental.



Penceramah program ialah Pemaju Mukim UPPM Kadamaian Risin Sikin, William Ginting dan Pemaju Masyarakat Elycia Sikul. Menurut Risin, program itu turut menekankan peranan komuniti dalam memberikan sokongan kepada individu yang menghadapi masalah kesihatan mental.


Aktiviti dimulakan dengan pembentangan kesedaran kesihatan mental yang merangkumi pengenalan kesihatan mental, tanda-tanda awal masalah kesihatan mental, pengurusan stres, komunikasi empati dan peranan komuniti dalam memberikan sokongan.


Ia diikuti pengenalan borang saringan kesihatan mental WHO-5, PHQ-9 dan GAD-7, pengisian borang oleh peserta serta pengiraan markah dan penerangan interpretasi keputusan saringan oleh petugas terlatih.


Turut diadakan, sesi soal jawab dan perkongsian mengenai saluran bantuan kesihatan mental serta mesej kesedaran kesihatan mental bagi memberi ruang kepada peserta untuk mengemukakan soalan, berkongsi pandangan dan memperoleh maklumat yang lebih jelas tentang saluran bantuan yang tersedia serta peranan masyarakat dalam menyokong kesejahteraan mental.


Peserta turut diberi mesej utama: “Kesihatan mental anda adalah keutamaan, bukan beban. Mengakui kesakitan jiwa dan memohon pertolongan bukanlah tanda kelemahan—ia adalah bukti keberanian manusia yang paling agung.”

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page