top of page

Tiga Ditahan Kes Cedera, Ugutan Jenayah di Tawau

nabalunews
1 hour ago
1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


22 Oktober 2026


TAWAU - Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah kongsi di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Rosdi Mat Jusoh, berkata tiga suspek yang ditahan ialah dua wanita berumur anggaran 47 dan 42 tahun serta seorang lelaki berumur anggaran 45 tahun.


Menurutnya, mereka ditahan sepasukan tiga anggota polis dari Balai Polis Bombalai di perkarangan balai tersebut sebelum dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.


Beliau berkata, berdasarkan laporan mangsa, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kongsi di kampung berkenaan apabila pengadu didatangi sekumpulan individu sebelum seorang wanita menarik rambutnya.


"Mangsa turut mendakwa seorang lelaki yang tidak dikenali menumbuk bahagian tepi telinga kanannya sehingga menyebabkan kesakitan.Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung dakwaan pengadu menyiram seorang individu dengan air panas dan memukul anak kepada individu berkenaan," katanya.


Mangsa juga mendakwa menerima ugutan untuk membakar rumah kongsi yang didiaminya.

Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Polis menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan sebarang tindakan kekerasan, ugutan atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan orang lain.


"Sebarang perselisihan faham hendaklah diselesaikan secara aman dan melalui saluran yang betul, manakala sebarang kejadian jenayah perlu dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page