Mantan CEO CGC dan Presiden Dewan Perniagaan antara Ahli Lembaga Pengarah (ALP) baharu KKIP

22 Oktober 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melantik tiga Ahli Lembaga Pengarah (ALP) yang baharu di KKIP Sdn Bhd sekaligus memberikan wajah baharu kepada kepimpinan lembaga tersebut.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Credit Guarantee Corporation (CGC), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak yang merupakan anak watan Sabah dilantik menjadi ALP KKIP mewakili kumpulan profesional sektor perbankan dan kewangan.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Penampang (PCCCI), Datuk Kou Lee Chong turut dilantik menjadi ALP KKIP mewakili sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta dewan-dewan perniagaan yang ada di Sabah.
Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Penempatan Semula KKIP sebelum ini turut dilantik menjadi ALP KKIP bagi meneruskan isu-isu yang masih belum selesai sepenuhnya berkaitan pemindahan penduduk asal di KKIP.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan perlantikan ketiga-tiga ALP baharu KKIP tersebut dapat memberi nilai tambah kepada kepada kepimpinan Lembaga dan seterusnya pengurusan KKIP.

“Saya sangat menghargai sokongan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang memperakukan perlantikan ini sesuai dengan cadangan saya agar perlantikan Ahli Lembaga Pengarah di badan berkanun dan syarikat berkaitan Kerajaan di bawah MINDET memasukkan lebih ramai kumpulan profesional dan mewakili industri, seimbang dengan lantikan mewakili parti-parti politik Kerajaan,” katanya.

Selain KKIP, Kerajaan Sabah juga melantik dua ALP baharu SEDCO baru-baru ini mewakili dua dewan perniagaan iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI).















Comments