Ewon perbanyakkan aktiviti akar umbi selepas kelonggaran SOP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon perbanyakkan aktiviti akar umbi selepas kelonggaran SOP


Ewon menerima laporan daripada ketua-ketua cawangan Upko.

28 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick akan memperbanyakkan program bersama komuniti seperti gotong-royong, sukan, rekreasi dan ziarah selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bermula 1 April ini.


“Tahun lepas, saya telah memulakan kunjungan ziarah di beberapa kampung di Kadamaian termasuk program gotong-royong. Bagaimanapun, banyak program kita tertangguh kerana sekatan perjalanan sepanjang darurat termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP yang membataskan penganjuran aktiviti-aktiviti umum.


“Program kita terpaksa dihadkan kepada penghantaran bantuan bakul makanan kepada kampung-kampung yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) dan keluarga yang diperintah kuarantin wajib samada akibat positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Sepanjang tempoh tersebut, Pusat Khidmat ADUN Kadamaian yang mempunyai empat orang urusetia sepenuh masa, selain daripada saya selaku Wakil Rakyat, terus memberi perkhidmatan mengikut keupayaan dan kemampuan kami untuk membantu rakyat Kadamaian,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa perjumpaan dengan pimpinan UPKO dari 15 Cawangan Mukim Tamu Darat dan Mukim Piasau di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, di sini, hari ini.


Ewon menjelaskan peralihan fasa dari pandemik ke fasa endemik bermula 1 April ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan melonggarkan banyak SOP termasuk penganjuran aktiviti-aktiviti melibatkan kehadiran umum yang ramai.


“Justeru, saya dan Pusat Khidmat ADUN Kadamaian akan memperbanyakkan program bersama komuniti. Saya telah mulakan dengan jelajah ke setiap mukim untuk menemui pimpinan UPKO di akar umbi dan juga menyertai atau meninjau program gotong-royong komuniti.



“Saya juga akan mengadakan program ziarah kasih dan menyertai program-program kekeluargaan, sukan dan rekreasi anjuran komuniti.


“Pada tahun ini juga, kita akan mengadakan sambutan Rumah Terbuka Kaamatan dan Hari Raya secara serentak bagi mengeratkan hubungan silahturahim sesama rakyat Kadamaian,” katanya.



Ewon berkata, program beliau bersama komuniti sentiasa disusun oleh urusetia di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian dari masa ke semasa.


Berkenaan dengan perjumpaan bersama pimpinan UPKO akar umbi, setakat ini Ewon telah mengunjungi dan mengadakan perjumpaan di 10 daripada 16 mukim yang ada di Kadamaian.


Dalam perjumpaan tersebut juga, Ewon turut menerima laporan-laporan mesyuarat agung cawangan-cawangan UPKO yang ada di setiap mukim tersebut.



“Dalam minggu ini, saya akan mengadakan kunjungan ke Mukim Melangkap dan seterusnya ke Mukim Sayap.


“Pada minggu hadapan, saya akan mengunjungi Mukim Narinang dan Mukim Kaung Ulu. Selain itu, ada beberapa kunjungan ke kampung-kampung yang telah disusun oleh urusetia saya di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian.


“Saya berharap tiada lagi sekatan-sekatan lain yang boleh menghalang program-program seperti ini,” katanya.



bottom of page