top of page

Ewon rasmi Pecah Tanah Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual Pertama Sabah di SOGIP

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

13 Disember 2025


SIPITANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah mini Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual pertama di Sabah yang dibangunkan oleh E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd. di Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), Sipitang, di sini, hari ini.


Beliau berkata, projek strategik dengan pelaburan keseluruhan melebihi RM1 bilion itu bakal menjana peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Sabah serta menyokong pertumbuhan industri secara mampan, selamat dan berdaya saing.


“Pembinaan fasiliti ini selari dengan wawasan Sabah First yang saya perkenalkan di kementerian, iaitu membangunkan lebih ramai rakyat Sabah berpendapatan, sama ada sebagai pemilik perusahaan atau sebagai tenaga kerja kepada sektor industri,” katanya.


Ewon berkata, fasiliti pengurusan sisa terjadual itu merupakan keperluan kritikal bagi menyokong pertumbuhan industri, khususnya apabila pengurusan buangan terjadual kelak diambil alih oleh Kerajaan Negeri.


“Antara manfaat utama projek ini termasuk mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti luar Sabah, menurunkan kos logistik, memastikan pematuhan piawaian alam sekitar, mengurangkan risiko pencemaran serta menarik pelaburan baharu ke SOGIP, KKIP dan POIC.

ree

“Fasiliti ini juga diunjurkan menjana kira-kira 270 peluang pekerjaan semasa operasi penuh, dengan keutamaan kepada anak-anak Sabah,” katanya.


Beliau berharap semua agensi dan jabatan berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (DOE), Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS), SOGDC, MIDA, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) terus bekerjasama bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mematuhi piawaian ditetapkan.


Ewon berkata, kementeriannya komited memperkukuh ekosistem pelaburan sejajar aspirasi Sabah Maju Jaya melalui tiga tumpuan utama, iaitu meningkatkan keyakinan pelabur menerusi dasar jelas dan penyelarasan agensi yang cekap; memperkasa usahawan tempatan agar menyertai rantaian bekalan pelabur; serta memantapkan ekosistem logistik dan pengangkutan termasuk keupayaan pelabuhan, kemudahan industri dan utiliti sokongan.


Mengulas prestasi pelaburan, Ewon berkata, berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dalam tempoh lima tahun (September 2020 hingga September 2025) sektor pembuatan di Sabah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM24.98 bilion.

ree

Katanya, ia merangkumi RM19.55 bilion pelaburan asing (FDI) dan RM5.43 bilion pelaburan domestik (DDI), melibatkan 91 projek serta mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu.


“SOGIP terus muncul sebagai pemangkin utama pertumbuhan industri negeri dengan kemasukan pelaburan besar daripada syarikat seperti Esteel Enterprise Sabah, PETRONAS dan E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd., sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Sabah,” katanya.


Turut hadir itu Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin; Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Mohd Azmir Datuk Ramli; Pengarah E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd., Tang Siong Hee; serta Pegawai Daerah Sipitang, Abdul Karim A.M. Zahari.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page