top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon salur geran pentadbiran RM2000 kepada setiap JKKK di Penampang

Ewon menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pengerusi JKKK kawasan Parlimen Penampang. Turut kelihatan Adun Kapayan Jannie Lasimbang.

26 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menyalurkan geran pentadbiran sejumlah RM166,000 kepada 83 badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) dalam kawasan Parlimen Penampang.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, setiap JKKK dan JKDB menerima sebanyak RM2,000.


“Ini adalah komitmen dan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat Parlimen Penampang untuk membantu badan-badan JKKK dan JKDB. Saya menggunakan  peruntukan Ahli Parlimen sejumlah RM166,000 untuk tujuan geran pentadbiran ini.


“Geran pentadbiran ini adalah untuk membantu mereka membiayai kos-kos mesyuarat seperti membayar bil-bil elektrik, air dan program gotong-royong yang mereka anjurkan.

“Saya berhasrat menjadikan ini sebagai program tahunan  di mana kita akan memberikan geran pentadbiran kepada badan JKKK setiap tahun dengan syarat ianya harus direkodkan dalam akaun JKKK dan JKDB masing-masing,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di sini, semalam.


Mengenai Dana Komuniti Madani yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, Ewon berkata, inisiatif baharu itu adalah untuk program komuniti MADANI dengan peruntukan  keseluruhan RM1 bilion di mana peruntukan di antara RM50,000 hingga RM100,000 akan disalurkan bagi menjayakan projek yang dicadangkan oleh badan komuniti.


“Setiap badan komuniti seperti JKKK dan JKDB boleh memohon projek infrastruktur atau projek ekonomi yang kosnya RM50,000 hingga RM100,000 di kampung masing-masing. Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan menyediakan inisiatif seperti ini bagi memperkasakan komuniti.

“Pendekatan ini baik akan melengkapkan inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan oleh wakil rakyat, pejabat daerah dan pelbagai kementerian lain di kampung mereka,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan perpaduan mahu badan komuniti itu diperkasakan dengan memberi tumpuan kepada permohonan terus dan melaksanakan sendiri projek yang dicadangkan mengikut kaedah yang diputuskan oleh badan komuniti itu sendiri,” katanya.


Ewon berkata, bagi memberi kefahaman kepada badan-badan JKKK dan JKDB khususnya kawasan Kadamaian dan Penampang, beliau akan menjemput pihak ICU Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Ekonomi yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Program Ekonomi Madani bagi memberikan penjelasan lebih lanjut.


Mengenai peranan pengerusi JKKK, Ewon berkata, JKKK mempunyai tanggungjawab besar dalam pentadbiran sesebuah kampung.

“Mereka adalah ‘kabinet’ di peringkat kampung, mereka perlu menyalurkan maklumat daripada kerajaan kepada rakyat di kampung masing-masing dan menjadi pemudah cara.


“Mereka juga pengantara di antara penduduk kampung masing-masing dengan wakil rakyat, jabatan-jabatan kerajaan seperti majlis daerah, pejabat daerah atau agensi-agensi kerajaan yang lain.


“Tanggungjawab mereka besar walaupun peringkat kampung termasuk mamantau pelaksanaan projek di kawasan masing-masing bagi memastikan peruntukan yang disalurkan wakil rakyat, kementerian, jabatan dan kerajaan atau projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat dilaksanakan dengan baik.


“Mereka juga bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek bagi mengelak ketirisan atau pertindihan atau salah faham dikalangan komuniti kampung mereka,” katanya.

Comments


bottom of page